Kolej Komuniti Tanjung Piai
Kolej Komuniti
Tanjung Piai merupakan salah satu Institusi Pengajian Tinggi Awam di bawah
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan telah ditubuhkan sewaktu Rancangan
Malaysia ke-9. Memulakan operasinya pada 1 Januari 2008 di lokasi Pusat
Perdagangan Pontian dengan menjalankan kursus pendek dan mula menerima pelajar
sepenuh masa yang pertama pada Julai 2008.
Kolej ini
mempunyai keluasan kawasan seluas 1500 mps (untuk 3 lot kedai 2 tingkat) yang
merupakan bangunan secara sewaan. Terletak di persisiran pantai, kolej ini
menyediakan persekitaran yang kondusif dan sesuai untuk proses pengajaran dan
pembelajaran. Pada awal penubuhannya, kolej ini merupakan kolej cawangan
daripada Kolej Komuniti Pasir Gudang tetapi telah mendapat status Pusat
Tanggungjawab (PTJ) pada Oktober 2012.
Kolej Komuniti
Tanjung Piai menawarkan kursus sepenuh masa (Sijil Sistem Komputer &
Rangkaian) serta Kursus Pendek mengikut keperluan masyarakat
setempat. Penubuhan ini selaras dengan misi Kolej Komuniti yang memfokuskan
untuk mewujudkan peluang pembangunan potensi dan pencapaian kecemerlangan
kepada pelajar lepasan sekolah menengah dan masyarakat setempat khususnya di
Daerah Pontian.