GIATMARA
GIATMARA merupakan sebuah institusi
latihan peringkat akar umbi yang ditubuhkan di bawah akta syarikat dan dikenali
sebagai GIATMARA Sendirian Berhad. Pentadbiran GIATMARA diletak di bawah MARA,
sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Penubuhan GIATMARA bertujuan
menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia-belia di
luar bandar dan di dalam bandar bagi membolehkan para belia mendapat kemahiran
sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal bagi
memenuhi keperluan industri dan keperluan kegiatan ekonomi serta keusahawanan
di daerah setempat dan dalam negara. Bajet menguruskan operasi GIATMARA
dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui peruntukan yang disalurkan
menerusi MARA.
GIATMARA memulakan operasi pada bulan
Januari, 1986 di GIATMARA Jitra (sekarang dikenali sebagai GIATMARA Prima
Kubang Pasu) dengan pengambilan pertama seramai 60 orang pelatih dalam bidang
Elektrik Domestik, Menerap Bata & Kayu Tanggam dan Bengkuk Besi. Sambutan
dan permintaan tinggi terhadap program GIATMARA menyebabkan GIATMARA berkembang
pesat dari segi bilangan dan program yang ditawarkan. Pada masa ini GIATMARA
menawarkan 39 jenis kursus di bawah 12 jenis kluster iaitu Mekanikal, Seni
Bina, Pengangkutan, Pembuatan, Percetakan, Elektrikal, Komputer & IT,
Fabrik, Elektronik/ Mekatronik, Kulinari, Hairdressing & Cosmetology dan
Hospitaliti.